Tuesday, April 13, 2021

TRAGEDI 13 MEI 1969

PERISTIWA 13 MEI  

(e-FOLIO MPU 21032)


PENGENALAN

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini telah meragut nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Selepas kemerdekaan, negara menghadapi pelbagai masalah dalaman, terutama adalah masalah perpaduan dan integrasi antara kaum.


LATAR BELAKANG

Isu perkauman dalam pilihan raya 1969

Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik yang ingin mendapatkan faedah daripadanya dalam pilihanraya.

Pada pilihanraya umum 1969, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA, dan MIC gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Hal ini disifatkan oleh parti pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang dimenangi Parti Perikatan dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi.

Pihak pembangkang yang memperoleh pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka dengan berarak pada 11 Mei 1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman. Namun, terdapat segelintir pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat dikenal pasti) telah mengeluarkan slogan-slogan bersifat sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan perarakan di jalan-jalan raya sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Perarakan turut dijalankan pada 12 Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan sehingga mendorong kepada kejadian tersebut. Pihak pembangkang yang sebahagian besar darinya kaum Cina dari Parti Tindakan Demokratik dan Gerakan yang menang, mendapatkan permit polis bagi perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun perarakan melencong dari laluan yang ditetapkan dan melalui kawasan Melayu Kampung Baru, menyorak penduduk di situ.

Sesetengah penunjuk perasaan membawa penyapu, kemudiannya dikatakan sebagai simbol menyapu keluar orang Melayu dari Kuala Lumpur, sementara yang lain meneriak slogan mengenai tengelamnya kapal Perikatan iaitu logo perikatan. Ia berlarutan hingga ke 13 Mei 1969 sebelum Parti Gerakan mengeluarkan kenyataan meminta maaf pada 13 Mei di atas kelakuan penyokong mereka. Menteri besar Selangor, Dato' Harun Idris telah mengumumkan bahawa perarakan balas meraikan kemenangan UMNO akan dijalankan pada pukul 7.30 malam, 13 Mei 1969.


Pembangkang meraikan kemenangan

Peristiwa ini berlaku berikutan pengumuman keputusan Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau minta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Perarakan tersebut menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan hingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di sini letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.

Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu dari Kuala Lumpur.[4] Dalam masyarakat Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.


Perarakan kematian Cina

Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina Melayu.

Pada hari Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia yang bertanding untuk Gerakan memohon maaf di atas ketelanjuran ahli-ahlinya melakukan kebiadapan semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur tetapi permohonan maaf sudah terlambat.


Rumah Menteri Besar Selangor dan rusuhan pertama

UMNO telah mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 yang mengakibatkan terjadinya peristiwa ini.

UMNO bercadang untuk mengadakan perarakan balas pada 7.30 petang 13 Mei hari Selasa, tetapi kebanyakan orang Melayu mula berkumpul di depan rumah menteri besar Selangor pada awal pagi. Orang Melayu dari luar Kuala Lumpur turut serta dalam perarakan ini seperti dari Morib, Banting dan juga Perak.

Menurut laporan rasmi Majlis Gerakan Negara (Mageran), pergaduhan mula berlaku di Setapak dalam pukul 6 petang apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang beberapa orang Melayu yang dalam perjalanan ke Kampung Baru untuk menyertai perarakan UMNO dengan membaling botol kaca dan batu ke arah mereka.

Pergaduhan ini diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru Jalan Raja Muda.
Dalam pukul 6.30 petang orang Melayu mula bergerak dari Kampung Baru dan menyerang orang Cina dengan bersenjatakan parang dan keris. Mereka membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta. Orang Cina yang terserempak dibunuh. Menurut laporan majalah Time, sekurang-kurangnya 8 orang Cina terbunuh dalam rusuhan pertama yang berlaku.

Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala Lumpur dalam masa 45 minit dari Jalan Campbell, Jalan Tunku Abdul Rahman (Batu Road), Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan, Cheras, Kampung Kerinchi dan Sentul.

Tentera dari Askar Melayu lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala Lumpur.
Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan Askar Melayu dikerah untuk mengambil alih kawalan. Rusuhan dapat dikawal dengan mengunakan gas pemedih mata, perintah berkurung 24 jam (curfew order) diumumkan oleh radio pada pukul 7.30 petang dan di televisyen pada 8 malam.

Perintah tembak di keluarkan oleh Ketua Polis Negara Mat Salleh. Pihak askar mula meronda kawasan-kawasan rusuhan sehingga pukul 10 malam, ramai yang tidak tahu berkenaan perintah berkurung ditembak mati, ada juga yang ditembak kerana berdiri di depan koridor rumah sendiri. Laporan wartawan asing menyatakan segelintir Askar Melayu melepaskan tembakan rambang ke arah kedai dan rumah milik orang cina tanpa sebab.

Pada hari seterusnya 5 pagi, Hospital Kuala Lumpur memberi laporan bahawa 80 orang meninggal dunia pada rusuhan pertama yang berlaku dan majoritinya adalah orang Cina. Kebanyakan daripada mereka mengalami luka teruk akibat tetakan dan juga tembusan peluru. Ini hanya sebahagian orang atau mangsa yang dapat dihantar untuk rawatan, kebanyakan mayat orang yang terkorban diangkut oleh pihak PDRM menggunakan lori ke Balai Polis Travers. Kebanyakan mayat dalam keadaan yang tidak sempurna.


Panggung Odeon

Pemuda-pemuda Cina telah bertindak mengepung Panggung Odeon, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton dari kalangan Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut langsung tidak tahu membaca tulisan bahasa Cina. Kesan daripada itu, pemuda-pemuda Cina tersebut telah menyerbu masuk ke dalam panggung dan menyerang dan menyembelih penonton yang ada dan membakar pawagam tersebut.

Hampir semua penonton di dalam panggung tersebut mati di dalam keadaan yang sangat mengerikan. Ini termasuklah dua orang Askar Melayu yang tinggal di Sungai Ramal, Kajang. Manakala di pasar pula askar Melayu telah menembak orang Cina yang melanggar perintah berkurung dengan kereta perisai mereka. Di lebuh raya persekutuan pula, penduduk Melayu Kampung Kerinchi telah membuang pasu di atas lebuh raya tersebut dan mengakibatkan kesesakan lalulintas dan kemalangan.

Pemuda yang bernama Rahim Desa bersama seorang kawannya yang berjawatan kapten ketika itu yang tinggal di Kuala Lumpur yang turut menonton wayang di Odeon terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Beliau masih hidup hingga sekarang. Sementara Mohd Radzi mengalami pengalaman yang sama di Pawagam Federal, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur ketika menonton filem They Came To Rob Las Vegas arahan Antonio Isasi-Isasmendi. Abdul Rafai Alias bersama rakan-rakannya dari Semenyih yang datang ke Kuala Lumpur turut terperangkap dan terkejut dengan rusuhan kaum yang tidak disangka-sangka pada 13 Mei itu. Beliau turut melangkah-langkah mayat mereka yang telah terbunuh di atas jalan.

Khabar angin mengatakan Tentera Sabil dari Sungai Manik hendak datang ke Kampung Baru tetapi tersekat. Begitu juga dengan Tentera Selempang Merah dari Muar dan Batu Pahat tersekat dan disekat oleh polis di Balai Polis Kajang dan Cheras.

Askar Melayu juga telah menyelamatkan orang Melayu di Kampung Baru ketika itu.
Namun rusuhan kaum tidak terjadi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Perlis tiada sebarang pergaduhan. Negeri Johor dan Negeri Sembilan juga tidak terjadi apa-apa kerana telah diberi amaran oleh PKM. Cuma ada sedikit kekecohan di Melaka. Di Betong ada tembakan dilepaskan oleh PKM.

Ada yang menyifatkan pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan "politik". Seperti yang dinyatakan pergaduhan tidak berlaku di negeri seperti Kelantan, Pahang dan Kedah. Jika ia merupakan isu perkauman, sudah tentu pada hari itu orang Cina dan Melayu akan berbunuhan sesama sendiri di negeri-negeri tersebut seperti di selatan Thai.


Persepsi

Kalangan orang Melayu mempunyai pandangan yang negatif terhadap kaum Cina yang dilihat sebagai tidak mengenang budi dengan taraf kerakyatan yang diberikan pada mereka pasca kemerdekaan. Persepsi negatif masyarakat Melayu terhadap kaum Cina juga berlaku kerana orang Cina merupakan majoriti menganggotai pasukan Bintang Tiga yang ingin menjadikan negara ini sebagai negara komunis berpaksikan negara komunis China.

Pada tahun 2007, satu buku, May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang ditulis oleh akademik, bekas ahli Democratic Action Party, dan bekas ahli parlimen Kua Kia Soong , telah diterbit oleh Suaram. Berdasarkan dokumen yang baru 'declassified' di pejabat maklumat awam London, buku tersebut mengatakan bahawa rusuhan tersebut bukannya disebabkan parti pembangkang sepertimana cerita rasmi yang diberikan, tetapi rusuhan tersebut dimulakan oleh "ascendent state capitalist class" di UMNO sebagai 'coup d'etat' untuk menumbangkan Tunku Abdul Rahman.


Angka Korban

Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah.
Statistik tidak rasmi jumlah kematian:
    Melayu  : 86 orang
    Cina  : 342 orang
    Lain-lain  : 3 orang


Lokasi Tunku Abdul Rahman Ketika 13 Mei 1969


Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Star meraikan kemenangan beliau di sana. 6.45 petang Encik Mansor selaku Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur memaklumkan kejadian pembunuhan kepada Tunku Abdul Rahman. Darurat diisytiharkan pada jam 7.00 malam 13 Mei 1969.


Mageran

Negara diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969. Dengan pengistiharan ini, Perlembagaan Persekutuan telah digantung. Negara diperintah secara terus oleh Yang DiPertuan Agong dibawah undang-undang tentera. Dalam pada itu, Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman telah menarik diri dari mengetuai majlis tersebut. Tempat beliau telah digantikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Berikutan itu, Parlimen juga digantung.

Sepanjang tempoh darurat, Mageran telah melakukan pelbagai tindakan untuk mencari punca dan penyelesaian agar tragedi tersebut tidak berulang. Antara tindakan yang diambil ialah membentuk satu Rukun Negara bagi meningkatkan kefahaman rakyat tentang perlembagaan negara. Turut dilakukan ialah melancarkan Dasar Ekonomi Baru untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan satu aktiviti ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar dan membentuk Barisan Nasional yang bersifat sebagai sebuah kerajaan perpaduan.


Rujukan

https://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka
http://www.littlespeck.com/ThePast/CPast-My-tunku-030513.htm
http://www.malaysia-today.net/MMblues/2005/06/silver-lining-in-dark-cloud-may-13-was.htm
http://web.archive.org/20070819073055/31august1957.blogspot.com/2007/08/watershed-elections-of-1969.html
http://langkasa-norul.blogspot.my/2013/10/the-may-13-tragedy.html



Labels: , , , ,

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home